Friday 15 February 2013

Peserta Dari 74 Negara Bakal Beradu Di Pertandingan Antarabangsa Bahasa Melayu

Ramai yang tidak sedar bermula 19 hingga 22 Februari ini akan berlangsungnya Pertandingan Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri yang antara lainya bertujuan untuk mengangkat bahasa Melayu ke persada antarabangsa. Program yang menjadi tumpuan kepada pencinta bahasa Melayu ini akan menyaksikan peserta dari tujuh benua yang terdiri daripada 74 negara saling beradu kebolehan dan kehebatan masing-masing.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa penganjuran untuk kali ke-tujuh ini dilihat berjaya melakar sejarah tersendiri kerana mencatatkan penyertaan paling tinggi. Peningkatan penyertaan ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pengajian Bahasa Melayu semakin tersebar dan mendapat tempat di universiti-universiti di seluruh dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut dijadualkan akan merasmikan Pertandingan PABM yang bertemakan “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu” ini yang bakal disiarkan secara langsung di Tv1 RTM pada 22 Februari.

Lebih membanggakan pihak penganjur turut dihubungi sendiri oleh pihak kedutaan luar negara yang memohon untuk menyertai pertandingan ini. Selain dari itu mereka turut menerima 4 penyertaan negara baru iaitu Panama, Bostwana, Laos dan Nepal. Sudah pasti sebagai rakyat Malaysia, kita sendiri pun tidak menyangka negara-negara tersebut turut menawarkan pengajian Bahasa Melayu di universiti mereka.

Jawatankuasa penganjuran telah menyenaraikan 12 tajuk yang yang meliputi pelbagai bidang dan isu-isu semasa namun masih berkisar pada tema yang telah ditetapkan.

Juri yang akan mengadili PABM ini dipilih oleh Madum dengan syarat bahawa tiga daripada tujuh juri mestilah warga asing melibatkan profesor, pensyarah dan pakar bahasa Melayu di institusi-institusi pengajian tinggi di luar negara. Sementara itu, juri dalam negara pula terdiri daripada profesor, pakar-pakar bahasa, personaliti dan bekas pemidato ternama yang menjadi ahli Madum.

Pihak penganjur menjanjikan pemilihan juri dibuat dengan teliti bagi mengelakkan sebarang rasa tidak puas hati oleh negara-negara peserta.

Penganjuran PABM jika dilihat daripada sisi berbeza bakal memberi impak positif kepada industri pelancongan dan pendidikan negara. Kerjasama pihak kementerian dengan Tourism Malaysia sejak PABM diperkenalkan amat membantu untuk mempromosi agenda dan destinasi pelancongan negara.

Melalui Program Inap Desa, para peserta akan dibawa melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur, Melaka dan lokasi bersejarah lain supaya diberi pendedahan mengenai budaya dan adat resam Melayu sepanjang mereka di sini.

Penganjuran pertandingan yang datang daripada idea Perdana Menteri ini dilihat mampu membina jenama dan identiti tersendiri bukan sahaja di rantau ini malah di seluruh dunia.

Secara signifikannya, PABM jelas memberi petunjuk kepada semua pihak terutamanya rakyat negara ini bahawa kerajaan tidak pernah berdiam diri dalam memperjuangkan isu Bahasa Melayu. Bahasa Melayu kini adalah bahasa kelima utama dunia selepas Inggeris, Mandarin, Hindi dan Sepanyol dengan jumlah melebihi 280 juta penutur.

SUMBER : KLIK SINI

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...